Wednesday, August 8, 2012

Semoga doa dikabulkan...

8 Ogos 2012

Hari ni saya agak lewat, maaf ayah buat ayah tertunggu-tunggu. Selesai menghantar fayyad dan anuar ke tadika, saya berkejar untuk menyambung tugas di Puteri.

9.15am, saya tiba di Puteri, keadaan sunyi. Oh ..ayah sudah pergi rupanya. Lambat benar agaknya menunggu saya, dia dah keluar dulu. Mak tidur waktu saya sampai, saya lihat wajah mak agak berseri pagi ni. Mak nampak lebih ceria dalam tidurnya itu, ALHAMDULILLAH....ya Allah. mohon dilanjutkan kegembiraan ini.
Setelah beberapa ketika barulah mak tersedar. Saya ambilkan mak air zamzam, haus katanya.
Mak tunjukkan saya yang lututnya dah boleh dibengkokkan sedikit, alhamdulillah mak.....mak dah makin sihat, kata saya. "Divity pump ni pun petang nanti dah boleh bukak kata doktor", terang mak lagi.

Saya terus berikan mak kata-kata semangat agar mak lebih positif untuk segera pulih.

11.00am, saya terpaksa pergi mak....ada keperluan yang mesti diuruskan di sekolah hari ini. Mana abang ni tak sampai lagi.....tak sampai hati nak tinggalkan mak sorang. Setelah diyakini oleh abang yang dia akan sampai , saya cium tangan mak, Mak, saya pergi dulu ya, kejap lagi abang sampai.....hati saya menangis tak dapat tunggu lebih lama.

......

4.13pm, dapat sms abang : "emak baru dipindahkan ke bilik 7 di tingkat yang sama. Besok Dr M akan berdirikan emak." Tergamam saya tiba-tiba. Azam saya kuat...saya mesti hadir esok pagi dan saksikan
saat-saat itu. Saya takkan lepaskan detik bersejarah itu. Mak .....tunggu saya esok pagi. Harap saya tidak lewat lagi.

Saya menjangkakan Ayah insan yang paling gembira dengan berita itu, Semoga Allah kabulkan doa ayah, doa kita semua .....AMIN

Tuesday, August 7, 2012

Coretan untuk adikku....Jangan berhenti berdoa............

6 Ogos 2012
Mak akan jalani pembedahan pagi ini, setelah hantar anak2 ke sekolah, kami bergegas ke Puteri. Alhamdulillah sempat jumpa mak sebelum masuk bilik OT. Terima kasih suami yang sanggup ambil cuti hari ini dan  menemankan saya untuk bertemu mak.
Terima kasih buat adikku aida yang menemankan mak sepanjang malam. Akak akan amik turn itu satu hari nanti kalau masih belum keluar. Terima kasih juga buat abang yang menemankan ayah sepanjang hari. Terima kasih ayah yang tolong hantarkan hasni ke sekolah. Buat dua orang adikku yang tidak bersama kami, terima kasih kerana tidak putus mendoakan mak dan kami di sini.

8am, belum ada sebarang panggilan,
9am, senyap..... muncul seorang jururawat berikan baju untuk ditukar.
10am, sepi,......rupanya doktor ada melakukan pembedahan kecil, jadi kami diminta menunggu, terima kasih wahai cik misi kerana maklumkan pada kami.....kalau tidak semakin resah rasanya ternanti-nanti begitu.

10.25, kami diminta menyiapkan mak, berdebar-debar rasa hati, pengalaman dihantar ke bilik OT hampir 6 tahun lalu ketika buat BTL selepas kelahiran Fayyad kembali menerpa dalam ingatan.

Mak dah siap bersedia.....  saya tahu mak kuat.....

10.30am, mak disorong keluar dengan katil warna biru, kami doakan mak tabah dan kuat. Tetapi gambaran di pintu bilik OT benar-benar memberi debaran yang hebat buat saya. Itu mungkin perasaan saya sahaja. Kembalikanlah kesemuanya kepada Allah.


2.00pm, tiada sebarang berita.
3.00pm, tiada berita juga
4.00pm, masih tiada sebarang tanda-tanda mak akan keluar dari bilik OT.
5.00pm, masih sepi......debaran saya semakin kuat.....Ya Allah selamatkan lah bonda kami.....
5.55pm, dapat sms dari abang (harap-harap positif...ya  ALlah..)
              bergenang air mata saya baca sms abang  :
              "akhirnya mak keluar. Sesekali mengerang cakap 'sakit' bila tersedar.
               Terpaksa dapat ubat tambahan tahan sakit"
pendek je sms abang tapi meruntun jiwa saya, saya semakin terekan kerana tak dapat ke hospital atas tuntutan lain. Anak-anak perlukan saya untuk berbuka puasa petang ini. Hati sabar lah    , utamakan yang penting dulu,

8.00pm, aida masih di hosp dengan anaknya. Mak masih mamai, Keletihan...kesakitan....itu gambaran yang saya terima, ala kulli hal.....alhamdulillah
9.00pm, mak baru boleh sedar, secawan Milo pengalas perut. setelah hampir 24 jam tiada yang masuk ke perut mak, tentulah terasa laparnya tapi tak ada kudrat untuk makan.

11.00pm, atau mungkin lebih....abang balik
11.45pm, aida tiba utnuk amik giliran menunggu mak.......

7 Ogos 2012

7.45am, ayah tiba, adikku terus ke ofis,

8.10am, saya tiba, ayah bersyukur kerana saya tiba pada waktu yang sesuai,
tugas pertama, suapkan sarapan mak.......saya selalu minta mak suapkan saya walaupun dah saya dh ada anak, mak makan ya....bismillah...terketar-ketar mak mengunyah nasi goreng cempelang kata mak, saya terharu melihat maka mula ada selera , mungkin terpaksa....
mak mengaduh sakit badan, pinggang dan peha.....kemudian terlena lagi, saya rasa kalau tanpa bantuan ubat-ubatan di sekeliling mak ni agaknya tentu mak tak boleh tahan  

9.20am, doktor M tiba menyapa mak, saya tunggu peluang untuk bertanya beberapa soalan di mana skripnya telah disediaan oleh adikku.
menurut doktor, mak ok......(alhamdulillah) cuma mak perlu :
bersabar kerana baru buat pembedahan semalam,
gerakkan kaki banyak untuk lancarkan perjalanan darah
mak juga boleh gerakkan bahagian badan ikut kemampuan (tapi mak tak tahan di sini kerana masih sakit dan terlalu sakit)
kekalkan drip air di tangan dan kantung salur darah (saya dah lupa namanya apa tadi) yang dipasang salur untuk mengluarkan darah dari dalam (hampir dengan tempat pmbedahan dilakukan)
doktor juga arahkan jururawat untuk pasangkan divity pump di kaki lengkap dengan divity socks yang berfungsi untuk melancarkan darah bagi kaki yang tidak dapat bergerak banyak.

11.15am, mak rasa lapar, saya suapkan mak makan, tangan ini masih berpeluang berbakti suapkan mak lagi... makan ubat dan sebagainya....

12.10pm, makanan tengahari tiba, huh....ikan tenggiri masak asam pedas dan sayur.... mak hanya mampu makan isi ikan sahaja kerana agak pedas. Dua jiran kami datang melawat sejak pagi tadi.
 
2.20pm, ayah sampai, 
2.30pm, dua sahabat baik mak datang melawat, terima kasih makcik Ramlah dan K.Hamimah.
2.35pm, dua mak saudara kami dari tiba, terima kasih W.Zak dan C.Sugi atas kunjungan kalian semua.bali d
3.15pm, suamiku singgah dari perjalanan pulang dari sekolah.

Wah....mak ramai tetamu hari ini....tentu mak gembira, tapi kegembiraan mak terperosok jauh di sudut hati ada sesuatu yang menghalang mak .....iaitu sebuah KESAKITAN......
 
Coretan ini hampir berakhir di sini..... saya hanya menunggu adikku tiba untuk saya bergegas pulang mengambil anak-anak. Hidup mesti diteruskan.......kepada Allah kita panjatkan doa, agar kegembiraan kembali bersinar. Menatap wajah mak yang terbaring lesu adalah satu penyeksaan untuk saya dan sesiapa sahaja yang datang menyaksikannya.  Cepatlah mak sembuh...amin.

agaknya beginilah ketika pembedahan dibuat, sebab benda yang dipegang tu persis seperti bahan yang dibuang dalam pembedahan yang ditinggalkan kepada kami. 
Masya Allah..... bendanya kecil tetapi sakitnya melumpuhkan.....

Hebatnya kuasa Allah yang menyimpan jutaan rahsia keajaiban ciptaan manusia hingga manusia itu sendiri tidak mampu mengetahuinya inikan pula mengawalnya.... apatah lagi untuk menandingininya.....

Wallahu a'lam.....

Friday, August 3, 2012

Ujian belum berakhir

2 Ogos 2012

Ujian belum berakhir dan tidak akan berakhir.. Ujian berakhir dengan berakhirnya catatan manusia. Waktu itu malaikat berhenti mencatat.

Ujian tidak memilih  siapa dan ia sesuatu yang  pasti berdasarkan ayat mulia :

 وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأَمْوَالِ وَالأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155) الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (156) أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ ( 157
Dan Allah ta'ala berfirman,  "dan pasti Kami akan menguji kalian dengan sesuatu dari rasa takut, lapar dan kekurangan dari harta, jiwa (nyawa insan dan buah-buahan,) dan berikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar"  (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah : 155-156)

Kita kena yakin di penghujung kesusahan ada  kesenangan yang sedang menanti seperti firmannya 

(فإن مع العسر يسرا, إن مع العسر يسرا


9.25am - saya tiba rumah mak, ada abang, dan W Zak, mak pun dah siap. Appointment giliran keempat. Kemungkinan jam 11am. Kami ada masa untuk bersiap-siap fizikal dan mental.

10.00 - dengan kuasa veto yang ada pada ayah..."Jom kita pergi sekarang," kata ayah. Kami bergerak dua kereta, kerana saya akan ke sek semula tengahari nanti.

Tiba di hospital ayah dapat parking dengan mudah dengan pertolongan Allah. Saya diuji menunggu lama. 10.50 mak telefon risau saya tak naik lagi. Mak berikan panduan di mana mereka sedang menunggu. Setelah lama menunggu dengan sabar yang hampir kering, seorang tua berbangsa Cina memberi isyarat kepada saya suruh saya pusing ke arah keretanya yang akan keluar. Alhamdulillah......terima kasih Allah.

Kami diuji menunggu lagi . Doktor yang dinanti belum tiba. Benarlah kata orang....penantian ialah satu penyeksaan. Mak dah mula penat. Saya pun dah mula resah bimbang tak sempat mengikuti perbincangan bersama doktor kerana waktu beredar kian tiba. Doktor tiba jam 11.55am. Mak mula lega. Giliran pertama masuk, kedua dan ketiga tiada aral. Mak giliran keempat. Setelah pesakit ketiga keluar, doktor ikut keluar...??!!   oh...kami menunggu lagi....subhanallah......benarlah Kau sedang menguji kami.

Penantian kali lebih menyeksakan kerana tiada jawapan yang boleh melegakan kami.

Kami terus menanti.....

Penantian berakhir pada jam 12.50. Kami lega apabila doktor tiba. Alhamdulillah ....panjang syukur kami.
Doktor itu mempamirkan kepakarannya dalm setiap penerangannya. Adikku tiba. Ini menambah kelegaan saya kerana beliau lebih mahir dari saya untuk menerima penerangan doktor dengan lebih mudah.

Alhamdulillah......kami sangat berpuashati dengan penerangan doktor. Ada beberapa perkara yang kita kena ambil kira :
1) reda kita sedang diuji
2) bersedia untuk menerima ujian-ujian seterusnya kerana kita yakin ujian belum berakhir
3) kepakaran Doktor hanya sekelumit ilmu yang Allah cicipkan untuknya.
4) bertawakkal kepada Allah dengan perkara-perkara yang akan kita lalui seperti pembedahan, kesakitan,
     risiko dan semua perkara.
5) tidak meletak harapan kepada kepakaran doktor, tetapi wujudkan rasa kagum dan taajub dengan
     kehebatan Allah menjadikan banyak perkara yang tak dapat kita selesaikan.
6) jelas akan konsep fardu kifayah dalam konteks ilmu yang dibahagi-bahagikan kepada ramai golongan di
     dunia ini.
7) dan yakin dengan konsep ...  رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ  : tulang belakang, disc nya,
    saraf tunjang, air tulang belakang dan setiap inci tubuh kita ada peranan nya masing-masing. Lihat
    kepakaran Allah.....rosak sikit satu bahagian tiada bengkel terbaik yang mampu memperbaikinya. Di sini
     kita jelas tiada yang dapat menandingi kehebatan dan kekuasaan Nya.....Allahu akbar.

Jadi bersyukurlah dengan setiap pemberianNya. (لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ ) 

Ujian belum berakhir ..... Rancangan manusia telah menetapkan Ahad 5Ogos mak akan mula masuk wad. Isnin pagi 6Ogos satu pembedahan akan dibuat. Kita masih tidak akan dapat menduga apakah rancangan Allah, namun, kita wajib  bersangka baik dengan Allah. Segala apa yang ditentukan penuh dengan hikmah. Kalau bukan untuk mak tetapi untuk kita semua.

Ujian untuk mak untuk menghadapinya, ujian untuk kita sebagai anak untuk menguruskannya.......
واللـــــــه أعلـــم.



beginilah contoh imbasan imej tulang belakang mak yang sakit. Bulatan menunjukkan ada sesuatu yang terkeluar dan menekan saraf tunjang mak, sebab itu ia sakit dan menyakitkan ke bahagian badan yang lain.







Ini keratan dari atas menunjukkan bagaimana ia keluar dan menekan saraf berbanding dengan imej yang normal.











                  Lihat contoh bagaimana ia menolak saraf.



maklumat lanjut boleh didapati di sini






Segala puji bagi Allah......
ku mohon ringan kan penderitaan bondaku,
limpahkan rahmatMu ke atasnya,
atas segala kebaikan bondaku...kasihanilah bondaku,
ampunkan dosa-dosanya,
kurniakanlah ke atasnya keampunan, keamanan, kesihatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat...

Amin....








Wednesday, August 1, 2012

Inilah kisah hari ini...


30 Julai 2012.
Melangkah kaki ke laluan ini amat asing buat saya. maklum saje dengan kemampuan yang saya ada, saya tidak pernah mendapatkan rawatan di sini. Saya terus mencari dua insan yang saya sayang. Maaf mak..saya lambat sampai. Maaf ayah...saya biarkan tangan ayah yang berkedut tu menolak kerusi roda mak.

Sebaik sahaja keluar lif, terdengarsuara memanggil, oh...ayah. Terpancar kegembiraan di muka ayah dengan kehadiran saya. Sekurang-kurangnya ada teman untuk berbicara. Jam dah pukul 10.00 pagi. Mak dah mula resah dengan kelewatan doktor. Saya hampir hilang idea untuk dibualkan. Saya bukakan facebook untuk mak lihat gambar yang abang masukkan di wallnya. Tersentuh hati saya dengar mak dan ayah ketawa gelihati.

Doktor tiba akhirnya pada jam 10.55. (tiba hospital jam 8.40). Setelah meneliti kes mak, mak diminta menjalani CT Scan. Mujur ada abang Muzammil yang bertugas di situ. (terima kasih atas bantuan yang dihulurkan).

Maaf mak ayah, saya tak dapat tunggu tengahari ini. Setelah yakin adikku akan datang, juga abang, saya melangkah berat meninggalkan kawasan hospital. Mak sabar ya....saya tahu mak kuat...ya Allah...kurniakan kesabaran yang yang tinggi buat bonda kami.

31 Julai 2012
Saya tak sempat jenguk mak.....maaf mak, tapi saya tak lupa doakan mak. Rupanya malam tu mak sakit kuat. Mujur abang ada bersama adikku di rumah mak. Jadi saya dapat maklumat dari mereka sahaja. Ayah buat keputusan untuk ke hospital esok.

1 Ogos 2012.
7.20am - adikkku telefon, maklumkan keputusan ayah pukul berapa nak gerak ke hosp.
7.35am - ayah telefon, minta kepastian pukul berapa boleh tiba.
7.42am - mohon cuti hari ini, alhamdulillah diluluskan
8.15am - hantar anak...
            - singgah sek, ada urusan yang mesti diuruskan
9.35am - sampai rumah ayah, uruskan mak dan sebagainya...dan bertolak ke hospital
           
Tiba-tiba hujan panas turun sewaktu saya keluarkan kereta ayah, Sayu hati saya. Ya Allah mudahkan urusan kami hari ini. Kami tak banyak berbicara di dalam kereta. Adikku telefon dari Mesir. Nak cakap dengan mak. Terputus-putus suara mak dalam perbualan telefon itu menahan sakit. Sakit yang belum kami ketahui puncanya itu benar-benar mengganggu fikiran kami semua. Kami serahkan semuanya kepada Allah .

Kami terus menuju ke klinik tulang dengan harapan langkah kami betul. Bermulalah sesi soal jawab antara doktor dan pesakit yang kami bawa. Langkah pertama mak mesti menjalani MRI untuk mendapatkan gambaran sebenar di mana punca. Subhanallah..... kecilnya ilmu manusia yang memerlukan kajian terprinci untuk mendapatkan sesuatu. Kali pertama saya lihat alat canggih itu...lebih kurang beginilah .....
 


Selalu lihat dalam tv je atau dalam dalam majalah. Rupanya takdir yang membawa saya ke sini.




12.35 - mak siap jalani scan dengan alat itu selama 25 minit. Wajah mak sangat letih. Ayah juga keletihan di luar. Kalau tak puasa, tentu kami dah ngeteh di sana. Ayah tak berhenti menyebut nama Allah. Kekadang tersengguk keletihan. Saya dapat mengagak belakang badan ayah yang penat tidur di kerusi. Dalam usia 73tahun, tentu ayah tidak segagah dulu. Tiba-tiba tergambar agaknya begitulah keadaan ayah di samping mak setiap kali menunggu kelahiran kami semua. Hari ini saya ditakdirkan melihat ayah menunggu mak lagi. Kami semua menjadi saksi bahawa Ayah sangat sabar setiap kali mak sakit.  

1.20pm - adikku tiba, saya lega ada teman, report pun siap, kami bergerak ke bilik doktor semula. Mak dibiarkan berehat. Kami agak suspen bila dipanggil ke bilik doktor. Mak alami 'slip disc' yang jarang berlaku seperti kebiasaan orang lain alaminya. ia berlaku di kedudukan T-11 bahagian atas pinggang. Kebanyakan kes pada kedudukan L3-4 di bahagian bawah. Kami mendengar dengan tekun. Macam-macam perkara yang bermain di fikiran kami semua. Agaknya apa yang ada di fikiran ayah.....

Itulah kisah hari ini. Esok akan kami teruskan dengan tabah.
Mak....saya tahu mak kuat....mak selalu nasihatkan saya untuk kuat dan tabah. Saya akan selalu ingat itu....
Tiada duanya mak buat kami semua.....Ya Allah .....mudahkan lah urusan kami.....

Saturday, July 21, 2012

Ahlan ya Ramadhan...





Ramadan tiba lagi...Surau Taman Gembira menjadi saksi kehadiran kami malam itu. Surau yg berwajah baru ceria menanti kehadiran Ramadan beberapa minggu sebelum. Ayah tentunya mengetuai setiap program yang dirancang. Masih belum mampu mengikut jejak ayah yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap surau yang dicintainya.

Dulu hanya kipas , kini ada "air-cond", keinginan untuk beribadah dengan selesa diizinkan Allah dengan kehadiran alat itu,



 Tapi, kunjungan yang maksimum, mungkin ada yang  tak dapat menikmati kesejukannya. Mungkin tercetus beberapa perkara pada fikiran saya seperti :
1) komplen : ada aircond tapi tak rasa pun....atau..
2) takut ada yg datang awal untuk "cop" bawah aircond....haha... jahatnya saya kerana berperasangka begitu.

Bukan nak sangka buruk....tapi buktinya ada yg tak nak bergnjak walau seinci untuk merapatkan saf dan fokus pada sejadah masing2, maklum imam dah takbir , tak baik masuk lambat-lambat.....

tapi bukan itu yg kita cari dalam bertarawih, dan ini ini bukan kali pertama mereka berterawih di bawah bumbung ini...
tiada latihan.....atau tak biasa.....atau memang tak suka......atau memang tak berapa faham konsep berjamaah ......atau banyak lagi yg menjadi faktor keadaan ini berlaku.

ada satu lagi kes yg biasa di Malaysia...

kita saksikan SEBELUM dan SELEPAS ...:

A)    SEBELUM


    



B)     SELEPAS


 Memanglah tarawih sunat, jumlah rakaatnya pun ada khilaf tapi masih sunat, tapi perbezaan sangat ketara. Saya bukan nak fokus pada bilangan rakaat, tapi waktu pertukaran yang sangat bising, orang yang keluar saf berebut keluar kerana bimbang jamaah yang lain terganggu (memang ganggu pun..) . Ada pula bunyi motor yang tidak normal, berbual dengan kuat bertegur sapa dengan yang lama tak jumpa, dan macam-macam lagi serta yang paling ketara ialah saf yang lompang-lompang dek keluarnya separuh jamaah dari setiap saf.

Boleh tak bagi cadangan :

1) yang nak buat lapan tu duk la tempat yg senang nak keluar..... masalahnya yg nak buat 20 datang lambat pula....jadi mereka pula yg di belakang.

2) imam baca doa panjang sikit.....tapi tak menyelesaikan masalah pun sebab mereka pun nak berdoa dengan imam juga...

3) imam mula lambat sikit rakaat ke sembilan tu ?... beri masa orang yang nak keluar, dan beri masa kepada jamaah untuk rapatkan saf yang baru.... masalahnya ada yg fokus sangat kat sejadah masing-masing dan tak perasan pun rakan sebelah dah takde, atau rupanya tak nampak saf depan kosong ....

Saya tak dapat fikir sapa salah dalam hal ni ...

Lagi satu masalah yang saya nampak.....ada yg terlalu ta'assub dengan sejadah masing-masing hingga mampu  memberi ruang dengan makmum kiri kanan.... Sejadah yang patut disalahkan atau siapa.....

Sama-samalah kiat fikirkan masalah ni, saling tegur menegur antara satu sama lain, dan tanamkan kepada generasi muda kita yang ada, anak kita, anak-anak murid kita, tentang segala ilmu terutamanya bab solat dan yang berkaitan, untuk bekalan mereka di masa kita tiada lagi kelak . Kerana merekalah penyambung kita di surau-surau dan masjid itu satu hari nanti.

































Thursday, May 3, 2012

MEI MUNCUL LAGI....

Bulan Mei muncul lagi. Banyak yang dikaitkan dengan bulan Mei. Hari Guru , Hari Ibu dan macam-macam lagi... Walaupun Hari Ibu sebenarnya sepanjang tahun tapi sejak diperkenalkan sambutannya secara meluas, ia mendapat sambutan hangat. Sedikit sebanyak ia memeriahkan suasana dalam hubungan kekeluargaan. Kalau nak diikutkan banyak lagi hari-hari yang mereka telah naikkan dan jadikan budaya kita ...Hari Polis..Hari Kanak-kanak Sedunia lah..Hari Pahlawan lah..dan macam-macam lagi.

Sifat orang Melayu yang mudah mengikut tidak boleh juga disalahkan 100%. Ada banyak faktor yang telah berjaya menjadikan amalan tersebut selesa dalam budaya harian. Selagi ia tidak bercanggah dengan syarak taklah salah rasanya kalau diraikan. Tetapi... Hari Kekasih...jelas ada sandarannya.... Ha..sapa berani ikut...Hari Ibu juga ada sejarahnya . Boleh diikuti di sini . Jangan jadikan hari ibu sebagai sambutan...tapi sambutlah hari bersama ibu sebagai hari-hari yang paling membahagiakan dalam hidup.

istimewa untuk ibuku....
kaulah ibu...
kaulah guru...
kaulah ratu hatiku....
terima kasih ibu...







Friday, March 16, 2012

DAKWAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA




Dakwah ialah kerja mulia Baginda Rasulullah saw yang kita warisi secara langsung. Sabda Rasulullah: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Raja (ketua negara) adalah pemimpin dan ia bertanggunjawab terhadap rakyatnya. Orang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Wanita juga adalah

pemimpin di rumah suaminya. Dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya.

Malah bukan itu sahaja, “Hamba juga adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab ke atas harta benda

tuannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan masing-masing bertanggungjawab terhadap pimpinannya. – (Syaikhan).

Daripada hadis ini, nyata setiap orang itu mempunyai komitmen dalam membaiki (islah) orang yang dibawah jagaannya. Tanggungjawab itu terpikul di atas bahu setiap orang walau di peringkat mana mereka berada. Raja terhadap rakyatnya, pemimpin terhadap orang yang dipimpin, guru terhadap murid, majikan terhadap pekerja, bapa dan ibu terhadap anak-anak dan seterusnya.

Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama berdakwah ke arah kebaikan. Tegurlah di kalangan kita mana-mana yang boleh ditegur. Apa-apa sahaja teguran yang membawa kebaikan Allah akan caitkan pahala untuk kita. Bukankah itu jauh lebih baik dari kita mendapat dosa free dengan membiarkan kemungkaran berlaku di sekeliling kita.

Jangan biarkan anak-anak kita seperti mereka yang kadang solat kadang tidak, main suka-suka nak solat pada waktu kegemaran sahaja. Tak sempat maka tak solat. Begitulah seterusnya kalau dibiarkan terus.

Marilah kita berusaha menjadi Full Time Muslim. Kalau kita ambil ringan perkara ini mungkin ada sebahagian waktu dalam 24 jam kita ditakuti jatuh kafir…Na’uzubllah min zalik….