Saturday, September 12, 2009

Puasa Tapi Tak Solat

Seawal tadika lagi kita diajar dan sedia maklum bahawa Rukun Islam 5 perkara :
1. Mengucap dua kalimah syahadah
2. Solat lima waktu
3. Puasa di bulan Ramadan
4. Mengeluarkan zakat
5. Menunaikan haji bagi yang berkemampuan

Daripada urutan Rukun Islam itu jelas dan nyata bahawa kedudukan solat lima waktu lebih tinggi dari amalan yang lain termasuk puasa di bulan Ramadan. Dalam hadis Rasulullah saw telah dinyatakan bahawa solat itu tiang agama. Cuba anda bayangkan jika tiang yang diharapkan menjadi sokongan tidak konkrit, bagaimanakah dinding , atap dan peralatan lain hendak kita hiaskan. Begitulah gambaran solat. Jika solat seseorang itu tidak kuat, bagaimanakah amalan lains seperti puasa, zakat, haji, dan segala amalan sunat yang lain…. sedekah, berbaik kepada jiran tetangga, menghormati saudara yang lain dan sebagainya.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini sama-samalah kita renungkan sempurnakah puasa kita setelah kita berlapar dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Bersusah payah bangun sahur tetapi semudah itu tidak menunaikan solat Subuh. Malah ada pula kadang terlepas sahur tapi tetap menggagahkan diri berpuasa dan berbuka bersama-sama pada waktu maghrib. Dengan perasaan bangga berjaya melaksanakan sehari puasa. Lebih-lebih lagi bahang Aidil Fitri yang semakin terasa. Tapi sedihnya tanpa sedar anda sebenarnya bangga meninggalkan solat.

Bukankah pelik kelihatan manusia akhir zaman ini. Mampu berpuasa seharian sehingga mencapai 12-13 jam lamanya tetapi tak mampu melaksanakan solat yang cuma beberapa minit sahaja. Gagah menahan lapar dan dahaga tetapi tidak mampu menggagahkan diri untuk mengambil wuduk untuk solat. Mampu mengerjakan solat terawih di masjid dan di surau tetapi tidak mampu melengkapkan solat lima waktu.

Kita akan meninggalkan Ramadan beberapa hari saja lagi. Dalam masa beberapa hari ini kita masih berpeluang untuk memperbaiki kesilapan. Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Semoga pintu taubat masih terbuka dan seterusnya Allah menerima taubat hambaNya yang hina ini…..Amin.