Wednesday, August 1, 2012

Inilah kisah hari ini...


30 Julai 2012.
Melangkah kaki ke laluan ini amat asing buat saya. maklum saje dengan kemampuan yang saya ada, saya tidak pernah mendapatkan rawatan di sini. Saya terus mencari dua insan yang saya sayang. Maaf mak..saya lambat sampai. Maaf ayah...saya biarkan tangan ayah yang berkedut tu menolak kerusi roda mak.

Sebaik sahaja keluar lif, terdengarsuara memanggil, oh...ayah. Terpancar kegembiraan di muka ayah dengan kehadiran saya. Sekurang-kurangnya ada teman untuk berbicara. Jam dah pukul 10.00 pagi. Mak dah mula resah dengan kelewatan doktor. Saya hampir hilang idea untuk dibualkan. Saya bukakan facebook untuk mak lihat gambar yang abang masukkan di wallnya. Tersentuh hati saya dengar mak dan ayah ketawa gelihati.

Doktor tiba akhirnya pada jam 10.55. (tiba hospital jam 8.40). Setelah meneliti kes mak, mak diminta menjalani CT Scan. Mujur ada abang Muzammil yang bertugas di situ. (terima kasih atas bantuan yang dihulurkan).

Maaf mak ayah, saya tak dapat tunggu tengahari ini. Setelah yakin adikku akan datang, juga abang, saya melangkah berat meninggalkan kawasan hospital. Mak sabar ya....saya tahu mak kuat...ya Allah...kurniakan kesabaran yang yang tinggi buat bonda kami.

31 Julai 2012
Saya tak sempat jenguk mak.....maaf mak, tapi saya tak lupa doakan mak. Rupanya malam tu mak sakit kuat. Mujur abang ada bersama adikku di rumah mak. Jadi saya dapat maklumat dari mereka sahaja. Ayah buat keputusan untuk ke hospital esok.

1 Ogos 2012.
7.20am - adikkku telefon, maklumkan keputusan ayah pukul berapa nak gerak ke hosp.
7.35am - ayah telefon, minta kepastian pukul berapa boleh tiba.
7.42am - mohon cuti hari ini, alhamdulillah diluluskan
8.15am - hantar anak...
            - singgah sek, ada urusan yang mesti diuruskan
9.35am - sampai rumah ayah, uruskan mak dan sebagainya...dan bertolak ke hospital
           
Tiba-tiba hujan panas turun sewaktu saya keluarkan kereta ayah, Sayu hati saya. Ya Allah mudahkan urusan kami hari ini. Kami tak banyak berbicara di dalam kereta. Adikku telefon dari Mesir. Nak cakap dengan mak. Terputus-putus suara mak dalam perbualan telefon itu menahan sakit. Sakit yang belum kami ketahui puncanya itu benar-benar mengganggu fikiran kami semua. Kami serahkan semuanya kepada Allah .

Kami terus menuju ke klinik tulang dengan harapan langkah kami betul. Bermulalah sesi soal jawab antara doktor dan pesakit yang kami bawa. Langkah pertama mak mesti menjalani MRI untuk mendapatkan gambaran sebenar di mana punca. Subhanallah..... kecilnya ilmu manusia yang memerlukan kajian terprinci untuk mendapatkan sesuatu. Kali pertama saya lihat alat canggih itu...lebih kurang beginilah .....
 


Selalu lihat dalam tv je atau dalam dalam majalah. Rupanya takdir yang membawa saya ke sini.




12.35 - mak siap jalani scan dengan alat itu selama 25 minit. Wajah mak sangat letih. Ayah juga keletihan di luar. Kalau tak puasa, tentu kami dah ngeteh di sana. Ayah tak berhenti menyebut nama Allah. Kekadang tersengguk keletihan. Saya dapat mengagak belakang badan ayah yang penat tidur di kerusi. Dalam usia 73tahun, tentu ayah tidak segagah dulu. Tiba-tiba tergambar agaknya begitulah keadaan ayah di samping mak setiap kali menunggu kelahiran kami semua. Hari ini saya ditakdirkan melihat ayah menunggu mak lagi. Kami semua menjadi saksi bahawa Ayah sangat sabar setiap kali mak sakit.  

1.20pm - adikku tiba, saya lega ada teman, report pun siap, kami bergerak ke bilik doktor semula. Mak dibiarkan berehat. Kami agak suspen bila dipanggil ke bilik doktor. Mak alami 'slip disc' yang jarang berlaku seperti kebiasaan orang lain alaminya. ia berlaku di kedudukan T-11 bahagian atas pinggang. Kebanyakan kes pada kedudukan L3-4 di bahagian bawah. Kami mendengar dengan tekun. Macam-macam perkara yang bermain di fikiran kami semua. Agaknya apa yang ada di fikiran ayah.....

Itulah kisah hari ini. Esok akan kami teruskan dengan tabah.
Mak....saya tahu mak kuat....mak selalu nasihatkan saya untuk kuat dan tabah. Saya akan selalu ingat itu....
Tiada duanya mak buat kami semua.....Ya Allah .....mudahkan lah urusan kami.....

Saturday, July 21, 2012

Ahlan ya Ramadhan...





Ramadan tiba lagi...Surau Taman Gembira menjadi saksi kehadiran kami malam itu. Surau yg berwajah baru ceria menanti kehadiran Ramadan beberapa minggu sebelum. Ayah tentunya mengetuai setiap program yang dirancang. Masih belum mampu mengikut jejak ayah yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap surau yang dicintainya.

Dulu hanya kipas , kini ada "air-cond", keinginan untuk beribadah dengan selesa diizinkan Allah dengan kehadiran alat itu,



 Tapi, kunjungan yang maksimum, mungkin ada yang  tak dapat menikmati kesejukannya. Mungkin tercetus beberapa perkara pada fikiran saya seperti :
1) komplen : ada aircond tapi tak rasa pun....atau..
2) takut ada yg datang awal untuk "cop" bawah aircond....haha... jahatnya saya kerana berperasangka begitu.

Bukan nak sangka buruk....tapi buktinya ada yg tak nak bergnjak walau seinci untuk merapatkan saf dan fokus pada sejadah masing2, maklum imam dah takbir , tak baik masuk lambat-lambat.....

tapi bukan itu yg kita cari dalam bertarawih, dan ini ini bukan kali pertama mereka berterawih di bawah bumbung ini...
tiada latihan.....atau tak biasa.....atau memang tak suka......atau memang tak berapa faham konsep berjamaah ......atau banyak lagi yg menjadi faktor keadaan ini berlaku.

ada satu lagi kes yg biasa di Malaysia...

kita saksikan SEBELUM dan SELEPAS ...:

A)    SEBELUM


    



B)     SELEPAS


 Memanglah tarawih sunat, jumlah rakaatnya pun ada khilaf tapi masih sunat, tapi perbezaan sangat ketara. Saya bukan nak fokus pada bilangan rakaat, tapi waktu pertukaran yang sangat bising, orang yang keluar saf berebut keluar kerana bimbang jamaah yang lain terganggu (memang ganggu pun..) . Ada pula bunyi motor yang tidak normal, berbual dengan kuat bertegur sapa dengan yang lama tak jumpa, dan macam-macam lagi serta yang paling ketara ialah saf yang lompang-lompang dek keluarnya separuh jamaah dari setiap saf.

Boleh tak bagi cadangan :

1) yang nak buat lapan tu duk la tempat yg senang nak keluar..... masalahnya yg nak buat 20 datang lambat pula....jadi mereka pula yg di belakang.

2) imam baca doa panjang sikit.....tapi tak menyelesaikan masalah pun sebab mereka pun nak berdoa dengan imam juga...

3) imam mula lambat sikit rakaat ke sembilan tu ?... beri masa orang yang nak keluar, dan beri masa kepada jamaah untuk rapatkan saf yang baru.... masalahnya ada yg fokus sangat kat sejadah masing-masing dan tak perasan pun rakan sebelah dah takde, atau rupanya tak nampak saf depan kosong ....

Saya tak dapat fikir sapa salah dalam hal ni ...

Lagi satu masalah yang saya nampak.....ada yg terlalu ta'assub dengan sejadah masing-masing hingga mampu  memberi ruang dengan makmum kiri kanan.... Sejadah yang patut disalahkan atau siapa.....

Sama-samalah kiat fikirkan masalah ni, saling tegur menegur antara satu sama lain, dan tanamkan kepada generasi muda kita yang ada, anak kita, anak-anak murid kita, tentang segala ilmu terutamanya bab solat dan yang berkaitan, untuk bekalan mereka di masa kita tiada lagi kelak . Kerana merekalah penyambung kita di surau-surau dan masjid itu satu hari nanti.

































Thursday, May 3, 2012

MEI MUNCUL LAGI....

Bulan Mei muncul lagi. Banyak yang dikaitkan dengan bulan Mei. Hari Guru , Hari Ibu dan macam-macam lagi... Walaupun Hari Ibu sebenarnya sepanjang tahun tapi sejak diperkenalkan sambutannya secara meluas, ia mendapat sambutan hangat. Sedikit sebanyak ia memeriahkan suasana dalam hubungan kekeluargaan. Kalau nak diikutkan banyak lagi hari-hari yang mereka telah naikkan dan jadikan budaya kita ...Hari Polis..Hari Kanak-kanak Sedunia lah..Hari Pahlawan lah..dan macam-macam lagi.

Sifat orang Melayu yang mudah mengikut tidak boleh juga disalahkan 100%. Ada banyak faktor yang telah berjaya menjadikan amalan tersebut selesa dalam budaya harian. Selagi ia tidak bercanggah dengan syarak taklah salah rasanya kalau diraikan. Tetapi... Hari Kekasih...jelas ada sandarannya.... Ha..sapa berani ikut...Hari Ibu juga ada sejarahnya . Boleh diikuti di sini . Jangan jadikan hari ibu sebagai sambutan...tapi sambutlah hari bersama ibu sebagai hari-hari yang paling membahagiakan dalam hidup.

istimewa untuk ibuku....
kaulah ibu...
kaulah guru...
kaulah ratu hatiku....
terima kasih ibu...







Friday, March 16, 2012

DAKWAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA




Dakwah ialah kerja mulia Baginda Rasulullah saw yang kita warisi secara langsung. Sabda Rasulullah: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Raja (ketua negara) adalah pemimpin dan ia bertanggunjawab terhadap rakyatnya. Orang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Wanita juga adalah

pemimpin di rumah suaminya. Dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya.

Malah bukan itu sahaja, “Hamba juga adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab ke atas harta benda

tuannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan masing-masing bertanggungjawab terhadap pimpinannya. – (Syaikhan).

Daripada hadis ini, nyata setiap orang itu mempunyai komitmen dalam membaiki (islah) orang yang dibawah jagaannya. Tanggungjawab itu terpikul di atas bahu setiap orang walau di peringkat mana mereka berada. Raja terhadap rakyatnya, pemimpin terhadap orang yang dipimpin, guru terhadap murid, majikan terhadap pekerja, bapa dan ibu terhadap anak-anak dan seterusnya.

Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama berdakwah ke arah kebaikan. Tegurlah di kalangan kita mana-mana yang boleh ditegur. Apa-apa sahaja teguran yang membawa kebaikan Allah akan caitkan pahala untuk kita. Bukankah itu jauh lebih baik dari kita mendapat dosa free dengan membiarkan kemungkaran berlaku di sekeliling kita.

Jangan biarkan anak-anak kita seperti mereka yang kadang solat kadang tidak, main suka-suka nak solat pada waktu kegemaran sahaja. Tak sempat maka tak solat. Begitulah seterusnya kalau dibiarkan terus.

Marilah kita berusaha menjadi Full Time Muslim. Kalau kita ambil ringan perkara ini mungkin ada sebahagian waktu dalam 24 jam kita ditakuti jatuh kafir…Na’uzubllah min zalik….

Sunday, November 13, 2011

Sekalung tahniah ...


Tahniah untuk Fadwah Hamdiah yang selesai menjalani upacara majlis konvokesyen Tadika Darul Ilmu. Tahniah untuk pihak sekolah yg berjaya menjalankan majlis tersebut dengan cukup baik. Ceramah yang disampaikan oleh tetamu jemputan sangat bersesuaian untuk ibu bapa yang hadir pada hari itu. Ucapan Ustaz Ajmain selaku perasmi juga tidak kurang hebatnya, sangat menyentuh perasaan. Antara ungkapan yang menarik " sayangi dan peluklah anak anda dengan kasih sayang sepenuhnya sebelum dia dipeluk oleh orang lain".

Tahniah dan terima kasih buat semua guru-guru Tadika Darul Ilmu yang memberikan tunjuk ajar, bimbingan dan kasih sayang kepada anak-anak saya yang menumpang di bawah payung tadika itu.

Inilah Fadwah yang akan berhijrah ke SK Taman Mutiara Rini tahun 2012. Dia nampaknya dah tak sabar dan kelihatan bersedia untuk menjadi pelajar tahun 1 di sekolah itu.

Terima kasih ayah bonda yg turut hadir. Terima kasih Abang Zul yang bawa ayah bonda bersama. Terima kasih atas dorongan kalian dalam pendidikan anak-anak. semoga anak-anak kita semua sejahtera dalam limpahan iman dan taqwa mendukung jolokan soleh dan solehah. Amin.

Wednesday, October 26, 2011

BAHASA ARAB HIDUP DALAM JIWA ORANG MUKMIN


Apa beza antara mukmin dan kafir ?

SOLAT.

Apa maksud solat ?

Dari segi bahasa : doa
Dari segi istilah : ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.

Solat dalam bahasa apa?

BAHASA ARAB.


Anak-anakku, saudara saudari sekelian, di situlah kekuatan dan mulianya Bahasa Arab berbanding bahasa lain di seluruh dunia. tidak sah solat dengan bahasa lain selainnya. satu-satunya bahasa yang ditulis di dalam Al-Quran dan digunakan di dalam syurga.

Sebenarnya Bah.Arab itu hidup dalam jiwa mukmin. Mukmin bertaqwa yang mengingati Allah , lidahnya basah menyebut kalimah-kalimah suci. Hatinya hidup dengan mengingati Allah.

اللــه اكبر
سبحــان الله
الحمد للــه
ما شــاء اللــه
حسبي الله ونعم الوكيل

kalimah-kalimah suci di atas kekuatannya tidak sama dengan yang diterjemahkan. Itulah yang dinamakan BAHASA ARAB HIDUP DALAM JIWA MUKMIN.

Cuma ramai yang tidak sedar atau buat-buat tidak sedar akan kepentingan dan kemuliaan Bahasa Arab dalam hidup kita.

واللــه أعلم